Hannani’s Weblog

SELAMAT DATANG

Artikel

بسم الله الرحمن الرحيم

Artikel 1

PENDIDIKAN ISLAM DI ASIA TENGGARA

1. Pendahuluan

1.1 Islam Di Asia Tenggara

Tarikh yang tepat tentang bila Islam itu mula masuk ke Asia Tenggara sukar untuk dipastikan. Kesukaran untuk menentukan dari Negara mana Islam itu memasuki Asia Tenggara juga beragam. Walaupun demikian terdapat tiga teori yang mengatakan bahawa sama ada Islam itu datang secara langsung dari Negeri Arab, atau dari India atau dari Negeri China. Walaupun terdapat percanggahan pendapat, para sarjana sepakat mengatakan bahawa golongan yang mula-mula menyebarkan Islam sama ada mereka itu saudagar yang berbangsa Arab, Farsi, Cina atau India yang sekaligus bertindak sebagai mubaliqh sesuai dengan prinsip pokok dalam ajaran Islam bahawa mendakwahkan Islam itu adalah kewajipan setiap umat Islam. (Pg Hj Mohammad bin Pg Hj Abd Rahman, 2001)

Kenapa Asia Tenggara menjadi tumpuan kepada bangsa-bangsa lain? Asia Tenggara mempunyai kedudukan yang strategi dan mempunyai daya tarikan bersumber dari hasil kekayaan bumi seperti pertanian, logam dan hasil hutan yang menghasilkan bahan-bahan keperluan hidup yang diperlukan oleh bangsa-bangsa lain.(Dra Zukairini, dkk,1992)

Masyarakatnya pula berpegang pada amalan Hindu, Buddha dan agama nenek moyang mereka yang juga mempengaruhi politik, ekonomi dan sosial kehidupan mereka pada ketika itu. Kedatangan Islam telah mengwujudkan dan memperkenalkan unsur-unsur baru yang kekal dan digunapakai hingga hari ini .

Unsur-unsur tersebut merangkumi, pemerintahanan pentadbiran, Sistem Pendidikan, Peranan Institusi Pendidikan, Bahasa dan Kesusasteraan, Cara Hidup, Kesenian dan Ekonomi.

1.2 Sistem Pendidikan

Sistem Pendidikan di Asia Tenggara sebelum Islam berfokus kepada golongan bangsawan sahaja. Apabila Islam tersebar luas kepada seluruh masyarakat, Pendidikan Islam telah dikembangluas melalui beberapa tempat iaitu istana, pondok, pasantren, madrasah dan surau. Tempat-tempat ini mempunyai peranan yang penting dalam institusi pendidikan Islam. Istana adalah tempat bagi ulama membicarakan hukum, menyampaikan ilmu kepada Sultan dan pembesar Negara dan menasihati sultan. Pondok adalah pusat utama Pengajian Islam terutama di Pattani, Thailand dan Semenanjung Malaysia. Di Acheh dan Jawa pusat Pengajian Islam menggunakan pondok atau pasantren. Subjek yang diajar meliputi Fiqah, Usuluddin, Tasauf, Hadis dan Tafsir dengan menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu dan Arab.

2. Pendidikan Islam di Brunei , Malaysia, Indonesia dan Thailand

Dalam penulisan ini secara ringkas akan diterangkan sejarah dan perkembangan pendidikan Islam di ke empat-empat Negara yang tersebut di atas termasuk lembaga-lembaga yang digunapakai, proses pengajaran dan pembelajaran, penubuhan universiti-universiti Islam dalam memperkembang pendidikan Islam bagi masyarakat Negara yang berkenaan.

2.1 Pendidikan Islam di Brunei

Dalam kurun ke- 16 Masihi, Brunei Darussalam telah muncul sebagai sebuah Negara yang aktif menjalankan dasar penaklukan dan usaha penyebaran Islam di sekitar Pulau Borneo dan Filipina. Kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi telah mendorong Brunei Darussalam menjadi salah sebuah pusat penyebaran Islam di rantau Asia Tenggara. Pada zaman ini terdapat golongan “elite” ulama yang mempunyai tugas penting dalam pentadbiran Negara untuk mengembangkan Islam dan salah satu profession dalam golongan ini ialah ‘Catip’ atau Khatib yang berperanan dalam pengajian dan pendidikan Islam hingga tertubuhnya pusat pengajian yang dikenali sebagai “balai”.

Penubuhan balai ini mempunyai dua tujuan iaitu sebagai tempat pengajian secara umum dan sebagai tempat pengajian dan pemerhatian terhadap orang-orang yang berpotensi untuk menjadi calon utama mewarisi keseinambungan para guru. Berdasarkan dua tujuan ini maka corak pengajian juga terbahagi pada dua iaitu:

i) Pengajian umum yang tidak memerlukan kepandaian menulis dan membaca jawi disediakan pengajian yang berbentuk dikir Brunei, Ratib Saman, Mengaji Al-Quran dan Hadrah di samping mempelajari mengenai ibadat sembahyang dan perkara-perkara yang berkaitan,

ii) Pengajian lebih tinggi yang melibatkan calon-calon yang mempunyai kemahiran membaca dan menulis jawi iaitu Ilmu Fiqh, Faraidh, Babun Nikah, Nahu dan Qawaid, Tasauf dan Akhlak.

Pengajian secara umum terletak di beberapa buah Kampung Ayer yang dikendalikan oleh ulama-ulama yang tersebut di atas. Pengajian rendah hanya tertumpu pada pengajian membaca al-Quran dan Kampong Burong Pingai adalah pengajian untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Negara Brunei Darussalam mengenalkan sistem pendidikan persekolahan secara teratur kira-kira pada tahun 1930 Masihi dan Pelajaran Ugama Islam diajarkan di Sekolah Melayu Jalan Pemanca. Pada tahun 1946 pelajaran ugama telah dijadikan sebagai satu mata pelajaran di sekolah-sekolah Melayu.

Pada tahun 1941 sebuah sekolah ugama yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa penggantar telah ditubuhkan dan ianya ditempatkan di sebuah rumah di Kampong Pusar Ulak Bandar Brunei. Sekolah ini ditubuhkan atas perbelanjaan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, disebabkan menerima tekanan daripada pemerintahan Jepun maka pada tahun 1942 sekolah ini ditutup. (Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, 1996)

Pada 16hb September 1956 Brunei Darussalam telah mencipta sejarah dalam perkembangan ugama Islam dengan tertubuhnya Sekolah Ugama mengikut sistem Sekolah Ugama Negeri Johor dalam peringkat permulaan ini sukatan pelajaran, buku-buku teks dan tenaga pengajar didatangkan dari Negeri Johor. Sesi pembelajaran dilakukan pada sebelah petang.

Di samping pelajaran-pelajaran ugama di sekolah-sekolah ugama, Pengetahuan Ugama Islam sebagai satu mata pelajaran di sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris juga diajarkan. Sekolah-sekolah ugama khas juga dibuka di empat-empat daerah untuk menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah.

Pada tahun 1966 kursus Perguruan Ugama diperkenalkan sebagai memenuhi keperluan tenaga pengajar. Usaha untuk mengemaskini kursus ini pada tahun 8hb Januari 1972 sebuah Maktab Perguruan telah dibuka bagi melatih penuntut-penuntut yang bakal menjadi guru-guru Ugama Terlatih.

Untuk memenuhi keperluan Pendidikan Islam dengan bahasa pengantar Bahasa Arab di Brunei Sekolah Menengah Arab telah diperkenan penubuhannya pada tahun 1966 yang menggunakan bangunan Madrasah Jabatan Hal Ehwal Ugama sehingga tahun 1967 bangunan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah digunakan dan seterusnya diikuti oleh Sekolah Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit pada tahun berikutnya. Tertubuhnya kedua-dua sekolah Menengah ini memainkan peranan penting sebagai penyebar ugama Islam dan seteruskan akan melahirkan guru-guru dan pegawai yang berijazah dan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang besar dan mencabar dalam bidang keugamaan.

Dalam perubahan zaman pendidikan Islam di Negara Brunei Darussalam telah memberikan pelbagai respon pembaharuan dan memandangkan pendidikan Islam menghadapi tantangan yang bukan sedarhana maka atas kesedaran ini kerajaan telah menubuhkan institusi-institusi untuk memperkembangluas lagi pendidikan Islam di Brunei maka atas perkenaan tertubuhlah Universiti Islam Sharif Ali (UNISSA) yang akan menjadi mercu tanda kecemerlangan dan kegemilangan hidup beragama di Negara Brunei Darussalam sesuai dengan konsep dan falsafah Negara Melayu Islam Beraja (MIB) dan juga tertubuh Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUS). Melalui institusi-institusi ini diharapkan dapat melahirkan ulama-ulama, cendekiawan-cendekiawan Islam yang berwibawa, mempunyai jati diri, professional, bertakwa dan arif dalam hal ehwal agama dan dapat membentuk pemikiran Islam dan gagasan-gagasan tentang pendidikan Islam semasa.

2.2 Pendidikan Islam di Malaysia.

Pendidikan Agama Islam di Malaysia bermula sejak sekian lama dahulu. Pendidikan yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar diajar oleh mubaligh-mubaligh Arab yang berdagang di Tanah Melayu masa itu. Masjid, surau dan rumah-rumah tok guru adalah menjadi tempat ilmu agama ini diajar. Pendidikan pada masa itu tidaklah dijalankan secara formal dan sistematik dengan sistem silibus yang seragam. Silibus adalah berasaskan kepada Al-Quran, dan Hadith.

Di dalam lapuran Penyeliaan Pendidikan Islam Sekolah Rendah (1992), sistem pendidikan agama di Malaysia terbahagi kepada 4 tahap:-

1. Sistem belajar di rumah guru.

2. Sistem pondok.

3. Sistem Madrasah

4. Dasar Pelajaran Kebangsaan.

2.2.1 Sistem belajar di rumah guru

Kehadiran Islam telah merubah sistem kehidupan masyarakat masa itu dari Hindu kepada Islam. Oleh sebab itu, Islam diterima sebagai membawa perubahan sosiologi kanak-kanak Islam dalam keluarga Melayu. Rumah guru adalah tempat kanak-kanak menerima pendidikan Islam. Hikayat Abdullah Munshi pernah menulis, sesudah boleh membaca dan menulis barulah disuruh mengaji Ilmu Tauhid dan Fiqh.

2.2.2 Sistem pondok

Apabila bilangan pelajar makin bertambah, timbullah idea baru dengan membina surau berdekatan rumah guru. Ianya dipelopor oleh ulama yang mendapat pendidikan di Patani. Bilangan pelajar yang ramai dan datang dari beberapa tempat menyebabkan pondok-pondok kecil pula dibina berdekatan dengan rumah guru. Ini bagi memudahkan pengajaran bagi pelajar-pelajar yang datang dari luar daerah. (Penyeliaan Pendidikan Islam Sekolah Rendah, 1992).

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Sistem ini mula berkembang pesat pada tahun 1909 sehingga Perang Dunia Kedua, antara tahun 1910 hingga 1045M dapat dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pengajian pondok di Kelantan. Pondok pada masa itu telah mencapai kemajuan yang gemilang dengan lahir ulama-ulama terkenal yang mengharumkan nama negeri Kelantan.

2.2.3 Sistem Madrasah

Apabila pendidikan ini semakin berkembang, tumpuannya lebih daripada sekadar kepada ibadah dan tauhid tetapi juga bahasa Arab, Hisab, Geografi dan lain-lain. Jadi, sistem madrasah pula dibentuk. Dengan kelahiran sistem madrasah, ianya lebih sistematik dan lebih formal dari sistem pondok. Kewujudan sistem madrasah di kalangan masyarakat tidak melemahkan sistem pondok malah kedua-dua sistem ini saling berganding dalam pendidikan Islam. Sistem pondok lebih banyak menumpukan kegiatannya di kampung-kampung tanpa mengenakan syarat tetapi sistem madrasah sebaliknya seperti had umur dan sebagainya.

2.2.4 Dasar Pendidikan Kebangsaan

Madrasah telah lumpuh apabila Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) diperkenalkan. DPK diperkenalkan melalui Penyata Pelajaran Razak 1956 dan Penyata Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960. Ibu-bapa banyak menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan memandangkan peluang untuk mengikuti pendidikan yang lebih tinggi adalah lebih luas. DPK dibahagikan kepada:

1. Sekolah agama dan madrasah rakyat yang didirikan oleh rakyat dan ditadbir sendiri.

2. Sekolah agama oleh kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri.

3. Sekolah agama oleh Majlis Agama.

4. Sekolah Agama di bawah Kementerian Pendidikan (SMKA)

Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 telah memperakukan supaya taraf pendidikan Islam diperluas dan dipertingkat. Pada tahun-tahun 80an, pendidikan Islam telah menjadi dasar dan tunjang dalam penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan juga Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Universiti Islam telah diwujudkan dan pendidikan Islam diajar di semua Pusat Pengajian Tinggi dan Maktab-Maktab Perguruan. Di antara universiti yang ditubuhkan ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) yang ditubuhkan secara rasmi pada 10hb Mei 1983 merupakan mercu pendidikan Islam di Malaysia. Di antara tujuan Pusat Pengajian Tinggi Islam ini ditubuhkan ialah untuk menghidupkan kembali konsep pembelajaran secara Islam dan meluaskan bidang pilihan kepada umat Islam dalam pengajian peringkat tinggi.

Universiti Sains Islam Malaysia atau Islamic Science University of Malaysia merupakan sebuah universiti Islam Malaysia ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia di permulaan abad ke- 21. Ia merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang ke-12 di Malaysia. Di antara tujuan penubuhan adalah sebagai memartabatkan pendidikan Islam serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan Negara dan menekankan penggunaan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan penyelidikannya.

Tertubuhnya Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) yang telah dinaiktaraf sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Matlamat KUIS ialah membentuk dan mendidik generasi ummah agar menjadi insan soleh melalui dasar pendidikan yang berteraskan ilmu naqli dan ilmu aqli yang bersaksikan tauhid untuk melahirkan generasi professional yang seimbang bagi menghadapi cabaran zaman sekarang.

 

 

2.3 Pendidikan Islam Di Indonesia

Pada awal perkembangan agama Islam, pendidikan Islam dilaksanakan secara informal yang dijalankan dalam lingkungan keluarga. Pendidikan secara informal ini telah menyediakan kondisi yang sangat baik dalam mendapat keberhasilan pendidikan Islam dan memberi motivasi yang kuat bagi umat Islam untuk menyelenggarakan pendidikan Ugama yang lebih baik dan sempurna.

Ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengaji dengan guru ugama di langgar, surau atau di serambi rumah tok guru. Walaupun bentuknya sederhana tetapi semangat yang dimiliki oleh guru dan murid adalah dianggap sebagai modal dalam pengajaran dan pembelajaran ketika itu.

Tempat-tempat pendidikan Islam seperti inilah yang menjadi asas terbentuknya pendidikan pondok pasantren dan pendidikan Islam yang formal yang berbentuk madrasah atau sekolah berdasar keagamaan.

Pondok pasantren ini tumbuh sebagai perwujudan dari strategi umat Islam untuk mempertahankan eksistensinya terhadap pengaruh penjajahan Barat dan alasan yang lain ialah kerana surau, langgar atau masjid tidak dapat menampung bilangan murid yang ingin belajar, kewujudan pondok pasantren juga didorong oleh keinginan ibu bapa untuk lebih mengingtensifkan pendidikan agama kepada anak-anak mereka. Di sinilah anak-anak tinggal dan seterusnya mengikuti pengajaran daripada guru.

Sistem pendidikan di Pasantren mempunyai corak yang sama seperti pendidikan di surau, langgar atau masjid tetapi sistem pendidikan pondok pasantren lebih intensif dan mempunyai waktu yang lebih lama.

Sistem pendidikan Islam mengalami perubahan seiring dengan perubahan zaman dan pengeseran kekuasaan di Indonesia. Jajahan Belanda mengenalkan sistem pendidikan formal yang lebih sistematik dan teratur yang mula menarik kaum muslimin untuk memasukinya. Bertolak dari sini sistem pendidikan Islam di surau, langgar atau di tempat lain yang serupa dipandang tidak memadai lagi dan perlu perubahan dan disempurnakan. Dengan pola pemikiran baru, di samping mempelajari pengetahuan-pengetahuan asas dipentingkan juga mempelajari bahasa Arab kerana dengan menguasai bahasa Arab orang akan dapat menggali ajaran-ajaran Islam dari sumbernya sehingga dapat mengembangkan agama Islam dengan lebih baik.

Pengembangan dan pembinaan pendidikan agama di lembaga-lembaga pendidikan agama seperti madrasah dan pondok pasantren juga mendapat perhatian dari pemerintahan Indonesia sebagai contoh peningkatan mutu madrasah (Ijazah yang didapati di Madrasah diiktiraf sama dengan sekolah umum yang sebanding. Setelah Indonesia mencapai kemerdekaan, pendidikan Islam dijadikan salah satu bidang studi yang dintegrasikan dalam kurikulum sekolah sejak dari sekolah dasar hingga ke universiti.

2. Pendidikan Islam di Thailand

Thailand mempunyai 64 juta penduduk dan merupakan salah satu Negara yang terbesar menganuti agama Buddha di dunia, selebihnya menganuti agama Islam (kira-kira 4% - 5%), Kristian, Hindu dan lain-lain.

Dalam sejarah pendidikan Islam di Thailand, Pattani yang kedudukannya berada di Selatan Thailand pada awal kurun 19 telah menjadi sebuah pusat pendidikan Islam tradisional. Pada ketika itu, pusat ini telah menyediakan pendidikan Islam pada peringkat permulaan bagi pelajar Islam sebelum mereka bertukar ke intitusi-intitusi pengajian ke Timur Tengah. Pattani menempatkan intitusi pengajian Islam dan tapak kebudayaan yang unik yang tidak ada di tempat lain. Antara intitusi-intitusi tersebut ialah pondok yang dikendalikan oleh guru yang mahsyur dalam pendidikan Melayu Islam. Melalui intitusi ini Pattani telah berupaya menarik ramai pelajar yang tinggal di sekitarnya. Oleh yang demikian Pattani digelar sebagai pusat penyebaran Islam yang awal dan juga sebagai tempat bermulanya tamadun Islam di Asia Tenggara.

Dalam tinjauan historis sistem pembelajaran berlaku secara halaqah iaitu belajar secara berkumpulan yang gurunya dikelilingi oleh pelajar, tiada pengredan kelas dan tidak ada penggunaan papan tulis. Semua pelajar tanpa had umur dan latarbelakang akan mempelajari sebuah kitab di hadapan tuk guru di sebuah dewan yang terbuka yang besar. Mereka mencatat segala penerangan dan tafsiran yang didengar oleh guru mereka. Pelajar belajar dengan cara hafalan. Dalam sistem ini juga peperiksaan, penilaian dan tempoh belajar tidak digunakan. Seorang pelajar boleh mencapai tahap kecemerlangan yang paling tinggi atau meneruskan pengajian selama 10 tahun atau lebih.

Sebagai bantuan kepada masyarakat Islam yang tidak tahu berbahasa Arab ulama-ulama Pattani telah menghasilkan kitab jawi. Kitab ini merupakan asas penting yang paling kukuh dalam proses pendidikan Islam sehingga membolehkan penuntut-penuntutnya lebih mendalami Islam.

Kecedurungan untuk menukarkan pondok pada madrasah bermula pada tahun 1970 apabila pihak kerajaan mula menlancarkan satu dasar pendidikan baru di seluruh Negara. Dasar ini telah menyedarkan tok guru bahawa ianya secara langsung atau tidak akan mempengaruhi asas pendidikan Islam secara tradisional di pondok. Implikasi dari ini tuk guru terdorong untuk mengubah sistem lama pondok ke madarasah. Selain dari itu para guru mempunyai inisiatif menghantar para pelajarnya ke Negara Islam termasuk Negara Timur Tengah dengan harapan mereka ini akan terdidik dengan lebih baik dalam pendidikan Islam dan Arab dan seterusnya mampu mengendalikan pondok dengan sistem pendidikan yang baru.

Secara tidak langsung juga graduan tersebut akan dapat menyelaraskan kaedah pondok dengan sistem pendidikan madrasah yang mereka dapati di Negara Arab Islam.

Melalui pengabungan usaha dan pemikiran kedua-dua pihak iaitu guru dan graduan sistem madrasah Pattani yang kurikulum dan sukatan pelajarannya dikendalikan di bawah persatuan sekolah-sekolah Agama rakyat telah diperakui dan diiktiraf oleh Negara-negara Arab Islam.

Transisi pondok berlanjutan hingga ke abad ke 20 dan pemerintahan Thailand membuat tanggapan bahawa wujudnya madarasah-madarasah tersebut adalah hasil bantuan dari Timur Tengah hingga menggangap di kalangan musliminin Thailand biang dari radikalisme dan bermulalah kurangnya perhatian pemerintah terhadap pendidikan Islam dan pendidikan Islam lebih terkebelakang dari Negara-negara Islam di Asia Tenggara.

3. Kesimpulan:

Pendidikan Islam di Asia Tenggara berkembang seiring dengan kemunculan Islam itu sendiri dan dibina di atas dasar-dasar yang dimiliki dan diyakini oleh umat Islam iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W dan mempunyai tradisi yang panjang dan telah mengalami masa-masa kemajuan dan kemunduran maka untuk menghadapi cabaran atau tantangan di hadapan maka ia harus dipertingkatkan sehingga dapat memenuhi keperluan dunia moden dan dapat memberikan sumbangan yang lebih baik bagi umat manusia sesuai dengan rumusan Hasan Langgulung yang mengatakan bahawa pendidikan Islam adalah sesuatu “proses penyiapan generasi muda untuk mengisi peranan, memindahkan pengetahuan dan nilai-nilai Islam yang diselaraskan dengan fungsi manusia untuk beramal di dunia dan memetik hasilnya di akhirat”

 

Artikel 2

ULASAN BUKU

Buku Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan yang bertajuk “Islam dan Pembangunan”: Satu Perspektif Bersepadu”  mengandungi lima bahagian, secara ringkas akan diterangkan inti dari bahagian-bahagian tersebut.

 Dalam bahagian pertama , pokok pembicaraan adalah tentang pentingnya peranan aqidah dalam  pembangunan dan pendidikan. Dalam bahagian ini juga menjelaskan tentang doktrin tauhid yang hanya wujud dalam agama Islam yang mengandungi ajaran-ajaran dan konsepsi-konsepsi yang unik tentang Tuhan, manusia dan alam yang wajib dihayati oleh individu dan umat Islam kerana ia membentuk pandangan hidup semesta seorang mukmin dan seterusnya akan mempengaruhi sikap serta perilaku bukan hanya dalam urusan ibadat malah dalam pelbagai urusan dunia. Untuk membangun kehidupan di dunia juga,   harus sesuai dengan  kehendak dan  ketetapan serta garis panduan  Rabb al-Alamin( yang disebut sebagai Syariah). Gabungan di antara penghayatan aqidah Tauhid dan pelaksanaan syariah Allah ini dinyatakan akan membawa kehidupan masyarakat yang selamat di dunia dan juga di akhirat. Perkara ini juga menjadi asas dalam pendidikan kerana pendidikan itu proses pembangunan insan sepanjang hayat.

Dalam bahagian kedua membicarakan tentang disiplin dan akhlak. Pembentukan akhlak yang mulia adalah menjadi tujuan utama pendidikan untuk mencapai ketaqwaan dan amal salih.  Peranan  akhlak dalam pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal harus diperkuatkan dengan semua pihak berperanan dan bertanggungjawab agar memperkukuh akhlak dalam masyarakat.

Ia juga tidak dapat dipisahkan dalam tujuan-tujuan keahlian atau profesional dan tujuan-tujuan khusus seiring dengan norma-norma akhlak dan syariah, terbentuk akhlak yang mulia akan mengwujudkan disiplin diri seorang muslim dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan profesionalisme.

Tidak kukuh asas akhlak atau rapuhnya kesedaran moral di bawah tekanan faktor-faktor keduniaan dan kepentingan kebendaan semata-mata adalah kelemahan yang paling besar dalam profesionalisme dalam tamadun sekular.

Dalam bahagian ketiga menyentuh tentang Pendidikan Islam antara praktis dan ideal, bahagian ini membicarakan keistimewaan pendidikan Islam yang diserapkan di sekolah-sekolah dan di institusi-institusi tinggi di Malaysia melalui sistem Pendidikan Negara agar ianya dapat disempurnakan dan dilaksanakan bagi membangun manusia secara sepadu seiring dengan matlamat  pendidikan Islam yang juga melibatkan sokongan daripada keluarga.

Bahagian keempat menyentuh tentang analisis ke atas disiplin pendidikan, dalam bahagian ini dijelaskan bahawa pembentukkan ilmu-ilmu kemasyarakatan dari perspektif Islam adalah menyeluruh dari ilmu kemasyarakat sekular-liberal. Ilmu kemasyarakatan sekular-liberal dinyatakan  tidak sesuai dan bertentangan dengan budaya dan masyarakat penerima. Dalam hubungan Al-Quran dan sains, penulis menyatakan bahawa al-Quran memberi tempat yang sepatutnya pada perkembangan ilmu pengetahuan di samping ia tidak mengandungi kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan penemuan sains. Pengajaran tentang alam yang menjadi bidang tugas ilmu sains dalam perspektif al-Quran, harus membawa kepada kesedaran tentang wujudnya kesatuan, kehormanian, keseimbangan, penyusunan yang amat rapi dan tujuan suci iaitu ciri-ciri yang mengkagumkan dan yang membawa kepada keinsafan betapa hebatnya ilmu dan kuasa yang mengatur segalanya.

Al-Quran bukan sahaja mengandungi kenyataan-kenyataan mengenai alam nyata yang bertepatan dengan penemuan sains malah ia adalah satu-satu kitab suci yang tidak jemu-jemu menuntut agar manusia mengkaji seluruh perjalanan alam nyata termasuk diri manusia sendiri dengan menggunakan segala keupayaan yang ada pada diri manusia itu sendiri. Fakta-fakta yang telah dinyatakan dalam buku ini, menuntut kesedaran bahawa sains itu perlu dibina berdasarkan “world-view” al-Quran dan juga perlunya ahli sains itu mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Dalam bahagian ini juga disebutkan bahawa pemikir-pemikir Islam dan cerdik pandai dari seluruh dunia telah mengadakan persidangan dan hasilnya mereka telah menyedari bahawa sistem pendidikan di negara-negara umat Islam rata-rata telah didominasi oleh konsep sekular yang boleh mempengaruhi generasi muda Islam,  melalui persidangan ini timbul gagasan untuk menyediakan satu pembaharuan  ke arah sistem pendidikan yang seiring dengan falsafah dan konsep pendidikan Islam bagi membantu umat Islam mencapai matlamat akhirnya.

Bahagian Kelima diterangkan tentang konsep pembangunan bersepadu. Dalam konsep bersepadu dikatakan bahawa dalam Islam ianya mempunyai pertalian antara satu sistem dengan satu sistem kehidupan yang lain. Kesepaduan dalam pembangunan manusia itu penting iaitu penerapan dan perlaksanaan tuntutan Allah dalam pembangunan ekonomi, politik, sosial dan budaya sama ada di peringkat individu atau peringkat kolektif. Semua kegiatan manusia di dunia hendaklah dilakukan sebagai manifestasi pengabdian (Ubudiyyah) kepada Allah dan segala ajarannya kerana beriman dan bertaqwa kepadaNya menjadi dua dasar pembangunan diri dan masyarakat yang sangat penting. Perkara ini dapat mencorakkan dan memberi petunjuk pada perkembangan aspek fizikal, rasional, estetika, sosial-ekonomi dan politik dalam kehidupan.

Kesimpulannya Tauhid diletakkan sebagai asas yang unggul kepada falsafah dan struktur pendidikan dan pembangunan.

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: